Thursday, November 3, 2011

PENULISANKU :: NOTA SI PENGEMBARA

Detikan jam tidak akan terhenti sehingga fajar terbit dari barat. Tiada sebarang bijih yang boleh memutarkan masa, sekelip mata sahaja kita berada dihujung nyawa. Sudahkah dihitung kebaikan yang ada dan sudah dinilaikah dosa yang diselitkan? Tiada seorang pun yang mampu lari dari kematian.

Perkara yang terbaik berlaku dalam hidup adalah hari sekarang, dimana ia sedang berlaku dan kita harus memanfaatkannya. Perkara paling jauh dengan kita adalah Hari Semalam kerana tiada sebarang alat yang boleh membawa kita kesana lagi. Dan perkara paling dekat dengan kita adalah Hari Kematian kerana mungkin sekejap lagi giliran kita akan dipanggil olehNya.

Fi-Sabilillah…itulah sebaik-baik jihad. Kita tidak pernah sedar akan kehebatan itu, meskipun kita tahu peranannya. Bukan mudah menyerahkan zahir dan batin kearahNya, tapi cukup senang bila selalu melakukannya. Hidup ini satu pencarian, semua umat inginkan kesenangan tapi tidak pandai untuk mendapatkannya. Disuruh kita melakukan taqwa..sedar atau tidak, itulah sebaik-baik senjata dan itulah yang dituntut dalam kehidupan. Persoalannya, mampukah kita menjalankannya?

Kita sebenarnya tidak pernah keseorangan, bertemankan kiri dan kanan mencatat amalan. Mengerti diri ini sering diperhati akan tetapi pandangan minda tidak pernah lari dari haluan keji. Manusia memang biasa melakukan kesilapan namun untuk mengakuinya jauh panggang dari api.

Mencari suatu yang murni semestinya satu cabaran, tetapi ganjaran dipengakhirannya sangat lumayan. Hidup hanya sekali, kenapa tidak diselami mengapa kita diwujudkan dimuka bumi. Adam dan Hawa dibuang kedunia hanya termakan buah khuldi, bagaimana kita yang memamah rangup isi tangan insani tanpa pekerti? Pejamkan mata, tanyalah isi hati.

Satu dua tiga, do re mi, alif ba ta, a b c…permulaan minda mengenal isi bumi. Setiap asalan ada sejarahnya. Angka, bunyi dan huruf ada kaitannya, pernahkah kita menilai mengapa, bagaimana dan siapa yang menciptanya? Aku sememangnya seorang pengembara. Ku mengembara dari satu alam kealam yang lain, dua alam sudah kutempuhi, alam sekarang sedang dijelajah. Masih tinggal dua dihadapan. Alam Roh, Rahim, Dunia, Barzakh dan Akhirat merupakan tempat tinggal semua manusia. Ingatilah dan gunakanlah sepenuh masa yang ada. Jangan disia-siakan pengembaraan yang sedang dilalui, sesungguhnya itu sahaja bekalan untuk dibawa.


by:- amilfathi

No comments:

Post a Comment