Thursday, November 3, 2011

PENULISANKU :: NOTA SI PENGEMBARA

Detikan jam tidak akan terhenti sehingga fajar terbit dari barat. Tiada sebarang bijih yang boleh memutarkan masa, sekelip mata sahaja kita berada dihujung nyawa. Sudahkah dihitung kebaikan yang ada dan sudah dinilaikah dosa yang diselitkan? Tiada seorang pun yang mampu lari dari kematian.

Perkara yang terbaik berlaku dalam hidup adalah hari sekarang, dimana ia sedang berlaku dan kita harus memanfaatkannya. Perkara paling jauh dengan kita adalah Hari Semalam kerana tiada sebarang alat yang boleh membawa kita kesana lagi. Dan perkara paling dekat dengan kita adalah Hari Kematian kerana mungkin sekejap lagi giliran kita akan dipanggil olehNya.

Fi-Sabilillah…itulah sebaik-baik jihad. Kita tidak pernah sedar akan kehebatan itu, meskipun kita tahu peranannya. Bukan mudah menyerahkan zahir dan batin kearahNya, tapi cukup senang bila selalu melakukannya. Hidup ini satu pencarian, semua umat inginkan kesenangan tapi tidak pandai untuk mendapatkannya. Disuruh kita melakukan taqwa..sedar atau tidak, itulah sebaik-baik senjata dan itulah yang dituntut dalam kehidupan. Persoalannya, mampukah kita menjalankannya?

Kita sebenarnya tidak pernah keseorangan, bertemankan kiri dan kanan mencatat amalan. Mengerti diri ini sering diperhati akan tetapi pandangan minda tidak pernah lari dari haluan keji. Manusia memang biasa melakukan kesilapan namun untuk mengakuinya jauh panggang dari api.

Mencari suatu yang murni semestinya satu cabaran, tetapi ganjaran dipengakhirannya sangat lumayan. Hidup hanya sekali, kenapa tidak diselami mengapa kita diwujudkan dimuka bumi. Adam dan Hawa dibuang kedunia hanya termakan buah khuldi, bagaimana kita yang memamah rangup isi tangan insani tanpa pekerti? Pejamkan mata, tanyalah isi hati.

Satu dua tiga, do re mi, alif ba ta, a b c…permulaan minda mengenal isi bumi. Setiap asalan ada sejarahnya. Angka, bunyi dan huruf ada kaitannya, pernahkah kita menilai mengapa, bagaimana dan siapa yang menciptanya? Aku sememangnya seorang pengembara. Ku mengembara dari satu alam kealam yang lain, dua alam sudah kutempuhi, alam sekarang sedang dijelajah. Masih tinggal dua dihadapan. Alam Roh, Rahim, Dunia, Barzakh dan Akhirat merupakan tempat tinggal semua manusia. Ingatilah dan gunakanlah sepenuh masa yang ada. Jangan disia-siakan pengembaraan yang sedang dilalui, sesungguhnya itu sahaja bekalan untuk dibawa.


by:- amilfathi

Tuesday, October 18, 2011

PENULISANKU :: MENCARI UNGGU KEHIDUPAN

Mendung tak semestinya hujan, cerah tak semestinya panas. Memang sesuai kata-kata yang diungkapkan itu, kehidupan ini sememangnya susah untuk diduga. Adakalanya kita merasa ianya akan berakhir dengan gembira, namun tanpa disedari ianya akan retak dan remuk dihujungnya. Begitulah sisipan sesebuah kehidupan, kita hanya mampu merancang namun hanya Dia yang menentukan.

Perit untuk menelan, lebih perit untuk dikenang. Begitulah yang dapat dirasai oleh semua makhluk yang bernama manusia tatkala berdepan dengan warna-warni kehidupan. Yang mengalami lebih memahami, yang mendengar masih samar-samar, yang tak peduli akan terus mencari-cari sketsa pertempuran masing-masing.

Bagai kata si purba, jalan hidup ini sememangnya lurus, namun liku-likunya akan ditemui jika kaki yang melangkah tersalah tapaknya. Pelbagai warna dan pesta menanti dihujung sana tapi adakah cukup ilmu didada untuk mengharunginya. Tiada kejayaan yang pernah dikecapi oleh manusia tanpa sebarang pengorbanan. Persoalannya, bersediakah kita untuk menghadapinya? Tepuk dada, Tanya akal.

“Unggu itu warna kemenanganku, unggu itu tujuanku. Tapi mengapa aku masih takut untuk berjalan di laluan itu bagi menggapai unggu itu? Terlalu banyak pasir masa didalam kotak mindaku membuatkan ianya mengawal ketakutan tubuhku. Bila dan bagaimana harus aku berubah, agar hajat untuk bertemu tercapai akhirnya”.

Kehidupan lebih mudah untuk dicongak diatas kertas, namun adakah ia semudah yang dirancangkan? Manusia cukup suka untuk berkata-kata, tapi jauh sekali untuk menepati. Ramai yang tidak setuju tapi hakikat sudah diterjemah, simbolik hidup berada disekeliling kita.

Manusia Agung dilahirkan dengan pancaran unggu diufuk timur. Kerinduan terhadapnya tidak akan berakhir sehingga hujung hayat manusia. Mencontohi, mengikuti dan belajar tentangnya merupakan asas tiang kehidupan, kerana warna unggunya menanti kita di alam kekal.

Pujangga menyatakan hidup ibarat roda, ada naik dan ada turunnya. Tetapi tidak pernah pula diertikan hidup umpama awan, selalu cerah dan gelap tanpa diduga. Pabila penuh isinya, diperah keluar hingga kosong kembali. Tiada kekal dalam kehidupan, apa yang pasti kita harus sentiasa bergerak, mengisi ilmu didada dan menjernihkan kekeruhan diakal. Seperti awan yang melindungi umat dari sinaran matahari meratah liang roma sehingga peluh membasahi kulit dan membakar tubuh.

Ramai yang takut untuk bertempur tapi ramai tidak sedar bahawa pertempuran yang dahsyat adalah kehidupan mereka sendiri. Tiada yang lebih hebat apabila melakar kejayaan demi kejayaan dalam hidup kita. Untuk melakar seribu warna kejayaan, kita harus bertempur dengan seribu jenis warna kesusahan. Mencari kehidupan hakiki merupakan satu pertempuran hebat yang harus diharungi setiap insan dan ia memerlukan sebesar-besar pengorbanan.

Pena yang menulis lebih lambat diterjemah berbanding leteran mulut. Namun, abadinya pena tampak jelas diatas kertas. Leteran mulut hanya hembusan nafas yang dibawa bersama abjad-abjad yang tiada kepastian. Begitu juga penghidupan, mencari abadi adalah sesuatu yang mesti, jangan dibiarkan pekerti diri dijajahi. Biar kesusahan mengiringi, akhirnya dunia abadi sangat disenangi.

“Ku tahu susah untuk mendapat unggu, tapi ku tahu tujuan hidupku hanya untuk itu. Mereka selalu berkata, hanya insan terpilih layak memilikinya, tapi mengapa tidak berusaha untuk mendapatkannya. Jika sepuluh jari dirapatkan, menadah ehsan Mereka diatas, menyerah segala isi jasad padaNya, aku pasti unggu itu akan memberi pertolongan dihari kelak”.


by:-amilfathi

Thursday, June 2, 2011

MENCARI KEHIDUPAN - DIREHATKAN SEMENTARA

Salam sejuta kasih..

Saya memohon maaf kerana tidak dapat menyiarkan sambungan NOVEL MENCARI KEHIDUPAN dalam masa terdekat. Ini kerana Mencari Kehidupan sedang didalam proses perbincangan untuk dijual hak milik karya dan ianya masih mempunyai baki 30% kesudahan cerita.

Sebagai menghormati pihak pembeli, saya terpaksa merehatkan seketika sambungan Mencari Kehidupan sehingga keputusan diketahui kelak. Walaubagaimanapun, saya berjanji akan menyiarkan keseluruhan cerita disini nanti.

Kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pembaca termasuk mereka yang telah membaca Cerpen "MENITI WARNA JINGGA". Sokongan anda adalah sumber inspirasi.

Jika anda mempunyai kelapangan, nantikan kemunculan cerpen terbaru, MENCARI UNGGU KEHIDUPAN secara berperingkat bermula 03 Jun 2011..InsyaAllah

Salam bahagia~