Tuesday, October 18, 2011

PENULISANKU :: MENCARI UNGGU KEHIDUPAN

Mendung tak semestinya hujan, cerah tak semestinya panas. Memang sesuai kata-kata yang diungkapkan itu, kehidupan ini sememangnya susah untuk diduga. Adakalanya kita merasa ianya akan berakhir dengan gembira, namun tanpa disedari ianya akan retak dan remuk dihujungnya. Begitulah sisipan sesebuah kehidupan, kita hanya mampu merancang namun hanya Dia yang menentukan.

Perit untuk menelan, lebih perit untuk dikenang. Begitulah yang dapat dirasai oleh semua makhluk yang bernama manusia tatkala berdepan dengan warna-warni kehidupan. Yang mengalami lebih memahami, yang mendengar masih samar-samar, yang tak peduli akan terus mencari-cari sketsa pertempuran masing-masing.

Bagai kata si purba, jalan hidup ini sememangnya lurus, namun liku-likunya akan ditemui jika kaki yang melangkah tersalah tapaknya. Pelbagai warna dan pesta menanti dihujung sana tapi adakah cukup ilmu didada untuk mengharunginya. Tiada kejayaan yang pernah dikecapi oleh manusia tanpa sebarang pengorbanan. Persoalannya, bersediakah kita untuk menghadapinya? Tepuk dada, Tanya akal.

“Unggu itu warna kemenanganku, unggu itu tujuanku. Tapi mengapa aku masih takut untuk berjalan di laluan itu bagi menggapai unggu itu? Terlalu banyak pasir masa didalam kotak mindaku membuatkan ianya mengawal ketakutan tubuhku. Bila dan bagaimana harus aku berubah, agar hajat untuk bertemu tercapai akhirnya”.

Kehidupan lebih mudah untuk dicongak diatas kertas, namun adakah ia semudah yang dirancangkan? Manusia cukup suka untuk berkata-kata, tapi jauh sekali untuk menepati. Ramai yang tidak setuju tapi hakikat sudah diterjemah, simbolik hidup berada disekeliling kita.

Manusia Agung dilahirkan dengan pancaran unggu diufuk timur. Kerinduan terhadapnya tidak akan berakhir sehingga hujung hayat manusia. Mencontohi, mengikuti dan belajar tentangnya merupakan asas tiang kehidupan, kerana warna unggunya menanti kita di alam kekal.

Pujangga menyatakan hidup ibarat roda, ada naik dan ada turunnya. Tetapi tidak pernah pula diertikan hidup umpama awan, selalu cerah dan gelap tanpa diduga. Pabila penuh isinya, diperah keluar hingga kosong kembali. Tiada kekal dalam kehidupan, apa yang pasti kita harus sentiasa bergerak, mengisi ilmu didada dan menjernihkan kekeruhan diakal. Seperti awan yang melindungi umat dari sinaran matahari meratah liang roma sehingga peluh membasahi kulit dan membakar tubuh.

Ramai yang takut untuk bertempur tapi ramai tidak sedar bahawa pertempuran yang dahsyat adalah kehidupan mereka sendiri. Tiada yang lebih hebat apabila melakar kejayaan demi kejayaan dalam hidup kita. Untuk melakar seribu warna kejayaan, kita harus bertempur dengan seribu jenis warna kesusahan. Mencari kehidupan hakiki merupakan satu pertempuran hebat yang harus diharungi setiap insan dan ia memerlukan sebesar-besar pengorbanan.

Pena yang menulis lebih lambat diterjemah berbanding leteran mulut. Namun, abadinya pena tampak jelas diatas kertas. Leteran mulut hanya hembusan nafas yang dibawa bersama abjad-abjad yang tiada kepastian. Begitu juga penghidupan, mencari abadi adalah sesuatu yang mesti, jangan dibiarkan pekerti diri dijajahi. Biar kesusahan mengiringi, akhirnya dunia abadi sangat disenangi.

“Ku tahu susah untuk mendapat unggu, tapi ku tahu tujuan hidupku hanya untuk itu. Mereka selalu berkata, hanya insan terpilih layak memilikinya, tapi mengapa tidak berusaha untuk mendapatkannya. Jika sepuluh jari dirapatkan, menadah ehsan Mereka diatas, menyerah segala isi jasad padaNya, aku pasti unggu itu akan memberi pertolongan dihari kelak”.


by:-amilfathi