Monday, June 7, 2010

NOVEL :: MENCARI KEHIDUPAN_CH 3

CHAPTER 3

Pagi yang sangat nostalgia, hujan turun sesudah subuh berkumandang. Titisan demi titisan turun menitis ke bumbung dari renyai hingga lebat. Dingin pagi mencengkam tubuh hingga ke rongga badan. Bersama segelas kopi dan bertemankan sebatang rokok, aku memandang ke tingkap rumah melihat gelagat jiran tetangga yang sibuk menguruskan keluarga dan bersiap sedia menjalankan rutih harian. Namun, aku seperti biasa terus termenung dan termenung. Sedang asyik melihat pak lebai melintas bersama kapcai menuju ke masjid, terimbas kembali kenangan lalu dan mengusik hati kecil ini.

Keluargaku berpindah ke kotaraya Kuala Lumpur pada tahun 2001. Ketika itu kami sekeluarga hidup dalam serba kekurangan. Hanya berbekalkan wang RM 500 kami sekeluarga bertekad untuk menaikkan taraf hidup kami dan mengubah segala perspeksi masyarakat luar tentang keluarga kami. Aku tidak malu untuk menyatakan keadaan kami ketika itu bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bapa ketika itu sangat gigih berusaha kehulu dan kehilir mencari sesuap nasi manakala ibu pula hanya suritumah tangga sepenuh masa. Berbekalkan wang pencen ibu, kami sekeluarga menjalankan rutin seperti mereka yang lain. Setiap bulan, hasil biasiswa yang diperolehi ketika itu akan ku berikan kepada ibu untuk manambah keperluan isi rumah yang sangat diperlukan.

Berbekal kan sebuah kereta Wira dan rumah apartment kecil, bapa meneruskan perjuangannya untuk mencari kejayaan dan menampung keluarga. Megah untuk aku katakan, bapaku adalah seorang yang sangat cekal dalam mengharungi liku-liku kesusahan ketika itu. Akhirnya bapa bertemu dengan seorang pemuda berbangsa cina bernama Yeong yang sanggup menolongnya dalam perniagaan. Menggunakan taraf bumiputera, bapa membuka sebuah syarikat pembinaan yang disokong oleh Yeong dari segi kewangan. Yeong sangat berani mempertaruhkan wangnya kepada bapa kerana dia tahu akan keistimewaaan bapaku.

Sikap yang ramah, mempunyai jutaan kenalan dan kepetahan bercakap adalah keistimewaan yang sangat bernilai diperolehi oleh bapa. Pengalaman hidup dan pengalaman mengabdikan diri kepada parti dan persatuan merupakan perkara yang sangat aku kagumi mengenai bapa. Oleh sebab itu juga, Yeong sanggup untuk menjadi rakan kongsi kepada bapa dalam perniagaannya.

Saban tahun, perniagaan mereka semakin maju dan membesar. Tiada tolak bandingnya sehingga nama syarikat bapa amat terkenal seluruh Kuala Lumpur ketika itu. Kehidupan kami sekeluarga bertambah baik. Pun begitu kami tetap dengan cara keluarga kami, tidak terlalu bermegah-megah kerana bagi kami sekeluarga, banyak lagi perkara yang perlu dikejar dan banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai segala yang dihajati.

Ibu merupakan seorang yang sangat tabah dalam keluarga. Menjadi orang kuat menyokong bapa dalam segala perkara yang dilakukan. Berkat ibu sepanjang malam yang tiada henti bersembahyang dan berdoa kepada keluarga amat menyentuh perasaaanku. Tidak pernah sekalipun aku melihat ibu bermasam muka dengan keadaan keluarga ketika kami dalam kesusahan malahan ibu memberi kami semangat dalam meneruskan perjuangan.

Ketika bapa menuju kearah kejayaan, ketika itu juga terjadinya satu peristiwa yang amat ditakuti kami sejak dari awal perkenalan kami dengan Yeong. Melihat dari satu kejayaan ke satu kejayaan yang diperolehi, Yeong mula berubah sikap dengan bapa. Mungkin kerana kejayaan bapa dalam menjalankan perniagaan melebihi jangkauannya membuatkan Yeong berasa iri hati. Dari masa ke semasa, Yeong cuba untuk mencari jalan untuk melepaskan diri dari bapa. Kami juga terasa hairan dengan tingkah lakunya. Pelbagai persoalan yang bermain deminda bapa, mengapa Yeong berubah sebegitu. Hanya Yeong saja ada jawapannya.

Betul apa yang diperkatakan oleh pepatah, rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Perubahan sandiwara hidup memang susah untuk diperhalusi. Adakalanya ia putih dan adakalanya hitam dan keruh. Mengapa harus ini semua terjadi.

Hidup memang tidak selalu indah..

Friday, June 4, 2010

NOVEL :: MENCARI KEHIDUPAN_CH 2

CHAPTER 2

Melihat matahari yang rebah tersungkur dan lama kelamaan hilang dari pandangan mengingatkan aku kembali peristiwa-peristiwa pahit yang terjadi pada diri. Tatkala hembusan demi hembusan kepulan asap keluar dari mulut begitu juga harapan aku untuk menghilangkan masalah yang ada pada diri, tapi tahu akan kebenaran tidak semudah itu masalah dapat diselesaikan. Aku masih mencari erti kehidupanku.

Ketika itu terdetik seketika akan peristiwa permulakan kisah kehidupanku. Menjadi harapan ibubapa untuk melihat anak-anak mereka belajar di tempat yang tertinggi dan berjaya dalam pelajaran, begitu juga hasrat ibubapaku. Aku mendapat tempat untuk meneruskan pelajaran di sebuah institusi yang amat dikenali akan kehebatannya. Kejayaan itu merupakan hadiah terbaik yang dapat aku berikan kepada ibubapaku ketika itu. Namun harapan dan kegembiraan mereka musnah dek kerana perubahan yang berlaku terhadap diri.

Seperti anak muda lain, waktu di zaman universiti adalah waktu yang paling bebas untuk kita melakukan apa sahaja kerana kita adalah kita. Tidak terkecuali dengan aku yang amat dahagakan kebebasan ketika itu. Berasal dari kampung yang tiada tempat gelap untuk berseronok dan tiada sinaran cahaya untuk menari sehingga puas, begitu lah yang dapat digambarkan diriku ketika itu. Tidak pernah berasa bosan dengan hidup kelawar malam malah sering mencari kenikmatan yang belum dirasai. Akhirnya pelajaranku terabai dan keputusan peperiksaanku jauh menyimpang dari yang diingini.

Setahun penderitaan yang terpaksa aku jalani kerana biasiswa dibekukan dan hidupku tidak keruan. Ketika itu timbul rasa sesal dilubuk hati kerana perbuatan sendiri. Aku mula mengambil langkah untuk menampung kehidupan di universiti dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Berbekalkan mulut manis dan sifat yang ramah aku mengambil upah menjual burger dari bilik ke bilik di universiti. Pendapatan yang tidak begitu lumayan tetapi cukup untuk menampung kehidupan harian.

Hari demi hari keseronokan berniaga makin bertambah dan mindaku mula memikirkan cara-cara untuk menambahkan pendapat yang sedia ada. Dengan berbekalkan simpanan yang ada, aku memulakan perniagaan sendiri di universiti dengan menjalankan perniagaan cetakan pakaian. Syukur kepada Allah yang memberi akal ini sehingga aku dikenali sebagai usahawan di universiti. Keseronokan berniaga makin bertambah dan aku sekali lagi terjerumus dalam situasi yang tidak sepatutnya ketika di menara gading. Apa yang dimaksudkan adalah alam percintaan. Ketika pelajaran dan perniagaanku stabil aku diberi ujian olehNya dengan seseorang yang bergelar wanita. Hari demi hari aku bersamanya dan terasa dunia ini suram jika sehari tidak bertemu kekasih hati.

Masa dan wang tidak menjadi halangan untuk aku bersama si dia dan bagiku hari-hariku hanya untuk si dia. Perasaan itu yang memusnahkan segalanya sehingga aku sekali lagi dipanggil oleh pihak universiti dan diberi amaran terakhir kerana pencapaianku yang tidak memuaskan. Masa dan wang yang ku kejar selama ini rupa-rupanya hanya meninggalkan kesan hitam dalam hidupku sehingga aku tidak lagi bergelar pelajar. Masa depanku menjadi gelap. Perniagaan yang dicipta lenyap dan bunga yang dipuja hilang dimata. 4 tahun masa remajaku musnah tanpa sebarang kejayaan. Aku membawa diri dengan sekeping kertas yang hanya mempunyai sebaris ayat pemusnah…GAGAL

Tangisan ibubapaku tidak akan ku lupa sehingga keakhir hayat…

Thursday, June 3, 2010

NOVEL :: MENCARI KEHIDUPAN_CH 1

CHAPTER 1

Bertemankan katil dan bunyian cengkerik malam, aku hanya termenung dan cuba untuk membayang masa depan hidup. Walaupun mempunyai kelebihan dalam banyak perkara, tetapi hidupku tidak berubah. Bukan untuk menyalahkan takdir atau tidak bersyukur dengan apa yang ada Cuma keadaan sedemikian menjadi aku terus berfikir dan berfikir. Kepala pening dan fikiran kusut, apa yang akan terjadi dengan diriku.

Nama aku Am dan berusia 26 tahun. 4 tahun yang lepas hidup aku tidak pernah ada masalah aku mempunyai perniagaan sendiri dan aku bersama ayah bersatu untuk membina syarikat untuk mengembangkan empayar keluarga kami. Dari sehari ke sehari hidup ini semakin senang dan aku bangga dengan pencapaianku. Walaupun kami sekeluarga berasal dari kampung dan telah melalui saat-saat getir dalam kehidupan ketika membuat keputusan untuk berpindah ke kotaraya, namun kami sekeluarga berjaya untuk mengharunginya.

Sepanjang 4 tahun aku bertungkus lumus dalam mencapai kepuasan dan membina status kehidupan yang luar biasa, selama itu juga aku mempelajari jutaan ilmu dalam kehidupan. Hidup ini sangat menyeronokkan, lagak manusia yang tidak henti-henti dengan kepura-puraa dan ada juga yang mempertaruhkan sikap tersurat untuk mencari kemasyuran. Namun, bagiku itu asam garam kehidupan. Dalam tempoh itu, memang aku puas dengan apa yang telah aku dapat, akan tetapi kejayaan itu juga membuat aku lupa akan masa depan yang bakal aku tempuhi.

Kecekapan melakukan keputusan dan kepetahan aku dalam mendebat baik buruk situasi sering kali di puji oleh ramai pihak. Ketabahan dan sikap tegasku tidak pernah disangkal oleh sesiapa sahaja yang pernah mendampingi diri ini. Akan tetapi sejauh mana kapal belayar, kedarat jua titik hentinya.hidup ini banyak muslihatnya dan perangai manusia yang iri hati akan kejayaan orang lain selalu hidup di setiap jasad mereka. Terbukti sejak dari Nabi Adam lagi perasaan-perasaan itu ada dalam diri makhluk yang bernama manusia.

Tumpasnya empayar yang dibina hasil titik peluh ku bermula dengan perasaan buruk ini…